Kita bayar zakat untuk fakir miskin, tapi..?

Bachok: “Saya terfikir juga untuk tinggal di tempat selesa tetapi tidak mampu membina rumah yang elok, hanya setakat begini saja,” kata warga emas daif, Mohd Noor Mat Diah, 61, yang hidup sebatang kara di sebuah pondok usang di dalam hutan dekat Kampung Tepus, di sini, semalam.

Mohd Noor sebelum ini sering berpindah randah apabila tempat tinggal asalnya reput dan mula membina sendiri pondok terbabit sejak tujuh tahun lalu menggunakan kayu terpakai dan dibina pada ketinggian kira-kira empat meter dari tanah.

Tanpa dapur dan tandas, dia menjalani kehidupan serba ringkas apabila hanya menggunakan ranting kayu untuk menghidupkan api bagi memasak serta menggunakan air perigi berhampiran.

Dia sebelum ini bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM40 sehari tetapi kini tidak lagi mampu bekerja kerana kesihatan mula terjejas akibat sakit di pinggang selain alahan.

Katanya, dia bergantung kepada bantuan bulanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM250 sebulan untuk menyara kehidupannya.

“Buat masa ini, jika dapat bersarapan pun saya sudah bersyukur.

“Saya tidak menerima bantuan lain dan wang bantuan MAIK itu cuma mampu bertahan untuk tiga minggu bagi membeli makanan kerana kadangkala saya makan di luar, kadangkala masak.

Jika tidak dapat makan, saya berpuasa saja.

“Namun saya pasti meminum air kelapa hampir setiap hari kerana ia kemestian.

Foto

MOHD Noor cekal meneruskan hidup dalam hutan.

Harganya tidak mahal cuma RM1 atau RM2 sebiji,” katanya.

Mohd Noor berkata, empat adik-beradiknya tinggal di Pasir Pekan, Tumpat dan dia kadangkala mengunjungi rumah mereka dengan mengayuh basikal pemberian seorang jiran, Mohammad Abdul Rahman, 52.

Katanya, sebelum mendapat basikal, dia hanya berjalan kaki dari tempat tinggalnya ke Pasir Pekan yang jaraknya lebih 30 kilometer.

“Kadangkala saya ke rumah kakak tetapi mereka pun sudah berkeluarga.

Pernah sekali saya dirempuh kereta ketika mengayuh basikal dan sehingga kini masih terasa sakit di pergelangan tangan kiri,” katanya.

Sementara itu, Mohammad berkata, dia mengenali jirannya itu sejak 30 tahun lalu dan sedih melihat keadaan Mohd Noor.

“Saya sedih kerana pada zaman sekarang pun masih ada lagi yang hidup dalam keadaan begini di kawasan hutan.

“Saya tidak berupaya membantunya dan berharap pihak terbabit dan kerajaan menghulurkan bantuan kepadanya,” katanya.

(Harian Metro)

“Buat masa ini, jika dapat bersarapan pun saya sudah bersyukur.”

Duit zakat aku bayar setiap bulan boleh cover sarapan yang sedap dan kenyang untuk pakcik ni selama sebulan.

😦

Advertisement